Kesan daripada Serangan Angin Ahmar: Perubahan Emosi

Understanding emotional changes after stroke 

 

Selain perubahan fizikal, angin ahmar boleh menjejaskan ‘mood’, tingkah laku dan perwatakan seseorang. Ini termasuk perasaan marah, mudah marah, cemas dan sedih. Kadangkala, disebabkan bagaimana otak telah cedera, bekas pesakit angin ahmar mungkin akan mengalami sikap tidak peduli dan impulsif.

Memahami emosi saya

Angin ahmar menjejaskan kesejahteraan setiap individu secara berbeza. Beberapa kesan-kesan daripada serangan angin ahmar termasuk:

Emotional P1.1.png
  • Perubahan dalam penampilan fizikal
  • Kehilangan fungsi fizikal atau tubuh
  • Penyertaan aktiviti sosial yang terhad
  • Kehilangan pendapatan kewangan
  • Perubahan peranan dalam keluarga
  • Kehilangan keupayaan untuk berdikari

Sebagai bekas pesakit angin ahmar, anda mungkin mengalami proses berduka dan rasa kehilangan. Anda mungkin melalui pelbagai emosi sebagai sebahagian daripada tahapan berduka. (“Lima Tahapan Berduka” yang dikemukakan oleh pakar psikiatri, Kübler-Ross). Jumlah masa yang dilalui dalam setiap tahap berbeza dari seorang ke seorang. Satu aspek penting yang harus diperhatikan adalah peringkat-peringkat ini tidak semestinya dirasakan secara berurutan, dan setiap individu berduka dengan cara mereka sendiri.

Tahapan berduka

  • Penafian
  • Kemarahan
  • Tawar-menawar
  • Kemurungan
  • Penerimaan

Apakah antara tindak balas emosi lazim yang mungkin saya alami selepas diserang angin ahmar?

Emotional P2.png

Rasa Cemas

Anda mungkin merasa bimbang, takut atau tertekan selepas diserang angin ahmar. Anda mungkin berfikir tentang masa hadapan dan bagaimana keadaan kehidupan anda. Perasaan dan fikiran seperti ini adalah sesuatu yang normal, dan anda mungkin dapat mengurusnya dengan lebih baik apabila keadaan anda bertambah baik.

Secara fizikal, rasa cemas kadangkala kelihatan seperti ini:

  • Merasa resah
  • Sesak dada
  • Merasa sesak nafas
  • Sakit kepala
  • Merasa tidak terkawal
  • Merasa takut

Jika gejala-gejala fizikal ini menjadi terlalu membebankan, dan menghalang anda daripada melibatkan diri dalam aktiviti harian anda, bincangkan dengan doktor anda.

Kekecewaan & Kemarahan

Anda mungkin merasa kecewa kerana tidak dapat melakukan perkara-perkara yang biasa anda lakukan atau terpaksa bergantung pada orang lain. Kekecewaan adalah emosi yang lazim dialami oleh hampir semua bekas pesakit angin ahmar.

Sepanjang perjalanans pemulihan anda, anda mungkin mengalami perasaan ini dari masa ke masa. Penting untuk anda bercakap dengan seseorang tentang perkara ini kerana memendam kekecewaan dan kemarahan anda hanya akan lebih menyukarkan anda dan orang tersayang melibatkan diri sepenuhnya dalam proses pemulihan.

Kesedihan/Kemurungan

Merasa sedih adalah lazim dan merupakan reaksi biasa selepas diserang angin ahmar. Jika perasaan sedih dan putus asa berterusan, dan menjejaskan keupayaan anda untuk melibatkan diri dalam aktiviti kehidupan seharian anda, anda mungkin mengalami kemurungan.

Kemurungan boleh muncul pada bila-bila masa selepas diserang angin ahmar. Kemurungan boleh tiba seawal sebulan dan selewat beberapa tahun selepas diserang angin ahmar. Adalah penting untuk anda ketahui apa yang perlu diperhatikan dan dapatkan bantuan perubatan awal.

Kemurungan menjejaskan setiap orang secara berbeza. Berikut adalah beberapa tanda-tanda lazim:

  • Merasa sedih atau muram
  • Merasa tidak berguna, tidak berdaya atau bersalah
  • Merasa putus asa atau terdesak
  • Merasa cemas
  • Hilang keyakinan
  • Hilang minat terhadap perkara yang pernah digemari
  • Merasa tidak bermotivasi
  • Hilang selera makan atau makan berlebihan
  • Sukar memberi tumpuan dan mudah marah
  • Masalah tidur
  • Fikiran untuk membunuh diri

Kesukaran mengawal emosi anda

Bergantung pada sifat angin ahmar yang anda alami, kadangkala, bahagian otak anda yang mengawal emosi mungkin terjejas. Anda mungkin menjadi terlalu mengikut perasaan berbanding sebelumnya atau ‘mood’ anda berubah dengan cepat.

Beberapa tanda-tanda emosi mudah berubah ialah,

  • Mendapati diri anda menangis atau ketawa tanpa sebab.
  • Meluahkan perasaan anda secara lebih mendalam sehingga anda betul-betul merasainya.
  • Merasa seperti anda tidak dapat mengawal emosi anda.

Jika anda mengalami gejala-gejala ini, bincangkan dengan doktor anda tentang ini.

Mania dan euforia

Mania dan euforia bukanlah kesan yang lazim daripada angin ahmar, tetapi ia menjejaskan sesetengah orang.

Orang yang mengalami mania boleh mengalami perubahan ‘mood’ yang tinggi atau rendah. Apabila ‘mood’ mereka terlalu tinggi, mereka boleh kelihatan hiperaktif dan mungkin mengalami kesukaran tidur.

Orang yang mengalami euforia kelihatan seperti sentiasa dalam ‘mood’ yang tinggi dan mungkin kelihatan sangat positif.

Emotional P3.png

Adakah ia akan beransur pulih?

Walaupun menangani angin ahmar boleh membebankan emosi, kebanyakan bekas pesakit angin ahmar berasa lebih baik sambil masa berlalu. Bagaimanapun, kadangkala perubahan emosi boleh berlarutan, malah menjadi lebih teruk.

Ingat, anda tidak bersendirian. Terdapat sumber-sumber untuk membantu anda menangani perasaan yang anda alami.

Apakah yang boleh membantu saya menangani kesan emosi daripada serangan angin ahmar? 

Bergantung pada keadaannya dan sejauh mana teruknya masalah tersebut, pengurusan ubat-ubatan mungkin boleh membantu. Pilihan yang tidak melibatkan farmakologi juga disediakan. Rujukan ke ahli psikologi atau pakar psikiatri mungkin diperlukan.

Ubat-ubatan

Emotional P4.png

Terdapat ubat-ubatan yang boleh membantu anda menangani emosi anda. Ubat-ubatan ini mempengaruhi bahan kimia dalam otak anda dan menceriakan ‘mood’ anda.

Terapi Psikologi (Psikoterapi)

Emotional P4.1.png

Psikoterapi merujuk kepada pelbagai rawatan untuk membantu individu mengatasi masalah kesihatan mental, cabaran emosi, dan peristiwa hidup yang membuat mereka berasa tertekan.

Psikoterapi menyediakan persekitaran yang selamat untuk anda bercakap secara terbuka. Pakar psikologi anda akan bekerjasama dengan anda untuk membantu memahami fikiran, emosi dan tingkah laku anda yang menghalang anda daripada merasa tenang. Anda juga akan mempelajari kemahiran baru agar dapat menangani cabaran yang anda hadapi pada masa ini dan yang mungkin timbul di masa hadapan dengan lebih baik. Pakar psikologi boleh bekerjasama dengan anda secara berseorangan atau bersama pasangan atau ahli keluarga anda yang lain.

 

Article available in English, Chinese, and Tamil

For more information on how to better manage your stroke recovery journey, visit Stroke E-Resources.

Back to Top