Pemulihan selepas Angin Ahmar: Fisioterapi

Post-stroke care management on physiotherapy

Angin ahmar boleh merosakkan bahagian otak yang mengawal pergerakan dan koordinasi tubuh badan. Fisioterapi membantu anda meraih semula kekuatan, koordinasi dan fleksibiliti sebaik yang mungkin. Ahli fisioterapi akan memeriksa anda dan menasihatkan pelan penjagaan berdasarkan sejarah perubatan anda dan masalah kesihatan yang sedang anda alami, untuk memberi anda peluang mencapai pemulihan yang terbaik.

Bagaimanakah angin ahmar menjejaskan pergerakan saya?

  • Anda mungkin mengalami kelemahan atau kelumpuhan sepenuhnya di salah satu bahagian tubuh anda. Ini boleh menyukarkan anda menggunakan anggota tubuh tersebut dalam aktiviti harian anda.
  • Anda mungkin mengalami gangguan deria rasa pada anggota tubuh badan yang terjejas. Anggota tubuh badan yang terjejas mungkin menyebabkan anda terasa kebas atau berat akibat kelemahan. Ini boleh menjejas keupayaan anda dalam pergerakkan tubuh badan. Kadangkala, sesetengah orang mungkin mengalami “rasa terbakar’ atau semut-semut yang menyakitkan atau tidak menyelesakan.
  • Anda mungkin mengalami masalah keseimbangan mengekalkan postur yang tegak.
  • Sendi di bahagian yang terjejas mungkin lebih mudah tercedera. Sebagai contoh, ketegangan ligamen atau keradangan tendon boleh terjadi di bahagian bahu, lutut atau pergelangan kaki di bahagian tubuh yang lemah.
  • Ketegangan otot-otot di bahagian yang terjejas juga boleh membataskan pergerakan anda. Sesetengah orang mungkin mengalami otot kejang atau kaku.
PT_P1_walkingstickwalking.png

Apa itu fisioterapi?

PT_P1_therapyball.png
Otak tidak boleh membina sel-sel baru untuk menggantikan sel- sel yang rosak selepas serangan angin ahmar. Fisioterapi membantu memudahkan keupayaan otak anda menyusun semula sel-sel yang tersedia ada untuk meraih kembali beberapa fungsi yang hilang, melalui pelbagai teknik seperti bersenam, latihan kemahiran, manipulasi atau stimulasi elektrik neuromuskular. Jika sesuai, pendekatan terapi berpandukan robotik juga boleh digunakan.

Bagaimanakah fisioterapi dapat membantu?

Di peringkat awal selepas serangan angin ahmar, ahli fisioterapi anda akan memberikan tumpuan kepada:

1) Memulihkan keupayaan anda untuk bergerak dengan selamat.

Bergantung kepada keperluan anda, ahli fisioterapi akan:

  • Menawarkan terapi untuk membantu menguatkan dan menyelaraskan pergerakan anggota tubuh anda.
  • Menasihatkan anda cara-cara memposisikan diri semasa berbaring atau duduk.
  • Mereka boleh bekerjasama dengan penjaga atau jururawat anda untuk mengajarkan teknik mengalihkan diri anda dari katil ke kerusi dan sebaliknya.
  • Membantu anda mempelajari semula tugas-tugas yang memerlukan anda berjalan dan menggalakan anda untuk melibatkan diri secara aktif dalam perjalanan pemulihan anda.
  • Buat keputusan sama ada alat bantuan, seperti tongkat berjalan, akan membaiki keupayaan anda berjalan.
  • Meningkatkan daya stamina dan kemahiran keseimbangan diri yang diperlukan terutama untuk berjalan di luar rumah.
  • Bekerjasama dengan pasukan penjagaan angin ahmar, penjaga, keluarga dan rakanrakan anda untuk menyokong pemulihan anda.

2) Mencegah komplikasi sampingan seperti

  • Ketegangan otot dan sendi
  • Jangkitan paru-paru
PT_P2_therapyoncoach.png

 

Bagi sesetengah pesakit yang diserang angin ahmar yang teruk, kemungkinan untuk pulih sepenuhnya adalah kurang. Dalam keadaan sedemikian, ahli fisioterapi anda akan menggunakan alat bantuan untuk mengajar anda dan penjaga anda cara-cara berbeza melakukan sesuatu untuk membantu anda mencapai tahap berdikari yang terbaik dalam aktiviti harian anda.

Di manakah saya akan menjalani terapi?

OT_P2_map_location.png
Lokasi terapi anda bergantung pada sejauh mana teruknya serangan angin ahmar yang anda alami. Penting untuk anda mendapatkan nasihat pasukan penjagaan angin ahmar anda tentang lokasi yang paling sesuai untuk keadaan anda.

Pesakit di hospital

Fisioterapi bermula sebaik sahaja anda dimasukkan ke hospital. Ia melibatkan senaman di tempat tidur, pergerakan di wad atau dalam kawasan sebuah gim khas. 

Setelah kesihatan anda stabil, anda mungkin dipindahkan ke unit pemulihan (di hospital atau hospital masyarakat) untuk meneruskan rawatan anda.

Pesakit luar

Setelah dibenarkan keluar dari hospital, terdapat pusat-pusat pemulihan siang hari atau perkhidmatan gim terapi pesakit luar di hospital yang menawarkan pelbagai program untuk mencapai matlamat kesihatan yang tertentu.

PT_P3_Assisted walking.png

Terapi di rumah

Terdapat pasukan pemulihan masyarakat khas yang boleh menyediakan terapi di rumah. Ini mungkin sesuai bagi pesakit yang mempunyai kesukaran untuk bergerak keluar dari rumah mereka, atau mempunyai matlamat kemampuan berfungsi tertentu yang akan meraih manfaat daripada latihan dalam persekitaran yang lebih kontekstual seperti di rumah mereka.

PT_P3_PTpt.png

Bagaimanakah penjaga atau keluarga saya dapat membantu?

PT_P4assistedwalking.png
Jika boleh, penjaga atau ahli keluarga anda harus menghadiri sesi pemulihan bersama anda. Mereka boleh belajar untuk membantu anda dengan senaman dan mengamalkan teknik pemulihan bersama anda di rumah.

Jika anda terlantar di katil,

  • Ahli fisioterapi akan mengajar penjaga anda bagaimana memposisikan anda dalam beberapa cara yang berbeza untuk mengekalkan kelenturan sendi anda dan memperbaiki postur dan keseimbangan anda.
  • Jururawat akan mengajar penjaga anda dan membantu mengubah posisi anda setiap 2 hingga 3 jam untuk mengelakkan kudis tekanan atau bed sore semasa penginapan anda di hospital.
PT_P4 Bedisde.png

Tip-tip untuk pemulihan

  • Penting untuk anda terus aktif selepas serangan angin ahmar.
  • Bersenam secara tetap pada waktu yang sama setiap hari atau seperti yang ditetapkan oleh ahli fisioterapi.
  • Lakukan senaman yang dicadangkan oleh ahli fisioterapi.
  • Jangan lupa untuk bersenam setiap hari atau sekurang-kurangnya 3 kali seminggu untuk menggalakkan pemulihan yang lebih baik.
  • Libatkan dan gerakkan bahagian tubuh yang terjejas sekerap mungkin.
  • Bersabar dan berusaha mencapai hasil untuk jangka masa panjang dan bukan sertamerta.
  • Cuba aktiviti baru yang akan membantu dalam pemulihan anda.
  • Jika anda mengalami keletihan selepas angin ahmar, senaman boleh membantu tetapi senaman perlu dilakukan secara berperingkat dan beransur-ansur, mengikut keupayaan anda.
  • Gunakan buku nota untuk mencatat kemajuan anda.
  • Anda boleh menyertai kumpulan terapi di Persatuan Angin Ahmar Nasional Singapura (SNSA) atau Stesen Sokongan Angin Ahmar (S3).
PT_P4_Notes.png

 

Bagaimanakah saya boleh bergerak dengan selamat dan mengurangkan risiko terjatuh?

Sekiranya anda perlu menggunakan alat bantuan berjalan untuk membantu dalam tugas-tugas yang memerlukan anda berjalan maka adalah berguna untuk anda ambil perhatian tentang nasihat keselamatan berikut.

PT_P5fell.png
  • Anda harus berusaha untuk memperbaiki atau mengekalkan kekuatan di kedua-dua belah kaki.
    • Senaman duduk dan berdiri secara berulang-ulang adalah cara mudah dan berkesan untuk mengekalkan kekuatan.
    • Kaedah lain untuk menguatkan kaki boleh dirancang oleh ahli fisioterapi anda untuk keperluan khusus anda.
  • Anda harus mengekalkan keseimbangan yang baik semasa berdiri.
    • Berlatih senaman keseimbangan yang sesuai yang diajarkan oleh ahli fisioterapi anda secara kerap boleh membantu menyelaraskan keseimbangan anda.
  • Jika anda baru sahaja bangun dari tidur, duduk dahulu selama beberapa minit dan kemudian lakukan beberapa pergerakan duduk dan berdiri di sisi katil sebelum berjalan dari katil anda.
  • Jika anda tidak berasa sihat atau baru sahaja bangun dari tidur dan perlu berjalan dengan segera, pastikan anda ditemani oleh seseorang.
  • Pemasangan palang genggam di bilik mandi dan pintu masuk yang terdapat bendul atau tangga akan membantu memastikan
    keselamatan.
  • Semasa berjalan di luar rumah: Jika keadaan persekitaran anda menjadi berisiko atau berbeza daripada biasa (contoh: lantai basah, lampu
    yang kurang terang, terdapat ramai pejalan kaki secara tiba-tiba, berjalan ke kawasan yang sesak)
    • Bergerak secara lebih perlahan dan ambil langkah pendek.
    • Jika boleh, pastikan seseorang berada di samping anda semasa anda berjalan.
    • Gunakan alat bantuan berjalan yang sesuai seperti yang dicadangkan oleh ahli fisioterapi.

 

Article available in English, Chinese and Tamil

For more information on how to better manage your stroke recovery journey, visit Stroke E-Resources.

Back to Top